Wednesday, July 13, 2011

VIP CHALLENGE 2011 ♥

Siapakah yang boleh melupakan pengalaman yang berboomz ini?! :D :D

sebelum bertolak @ Changi Airport

Dari Mac 7-11, kami telah menyertai VIP Challenge ke Jakarta, Indonesia. Pelbagai pengalaman dan kenangan manis yang telah saya perolehi daripada perkhemahan tersebut. Saya juga telah merapatkan hubungan dengan rakan sekelas saya dan juga orang di luar kelas saya. Kami telah pergi ke sana untuk menimba pengalaman dari segi fizikal and emosi.Aktiviti-aktiviti yang telah dirancang
untuk kami termasuklah mendaki, memasak, menyediakan khemah, menjenguk orang tempatan untuk menderma buku, berinteraksi dengan kanak-kanak di situ dan sebagainya. Namun begitu, terdapat beberapa kejadian yang malang berlaku semasa di situ. Ramai orang telah jatuh sakit dan cirit birit, akibat persekitaran di situ. Kejadian tersebut telah menjatuhkan semangat kami dan memuramkan suasana. (Nasib baik semua orang sudah pulih!) Cuaca yang kurang baik seperi hujan juga telah menjejaskan beberapa aktiviti luaran.

Oh, pemandangan dari tempat penginapan kami juga amat indah :)

selepas aktiviti air

lapaaaarrrrr

K terlalu banyak perkara untuk ditaip! Jadi saya hanya akan blog tentang pengalaman terbaik saya okaaayy :)

Pengalaman yang terbaik bagi saya ialah semasa berinteraksi dengan kanak-kanak di situ. Walaupun mereka serba kekurangan, mereka kelihatan begitu gembira dan puas hati dengan apa yang mereka ada. Apabila kami menderma buku-buku, pensel dan sebagainya, wajah mereka memaparkan kesyukuran yang tidak terkata. Dibandingkan dengan mereka, rakyat Singapura begitu berbeza. Mereka menemui kegembiraan dalam kehidupan yang sederhana. Daripada pengalaman itu, saya sedar betapa beruntungnya kehidupan saya. Saya lebih reti menghargai segala yang diberikan kepada saya dan tidak merungut demi perkara-perkara ang kecil. Kanak-kanak di situ juga mengajar saya bahawa kebahagiaan hidup tidak bergantung kepada kemewahan, tetapi dirasai apabila kita reti bersyukur.


background yang begitu cantik :D


kawanku yang gila. cari Phoebe di 11v15 :D
sebelum meninggalkan Jakarta
Saya benar-benar telah menimba pelbagai pengalaman dari perkhemahan ini. Kenangan manis dan pahit telah terukir di ingatan saya buat selama-lamanya. Ikatan persahabatan yang telah diwujudkan juga akan dinilai sepanjang masa. Tidak diragui bahawa VIP Challenge ini merupakan salah satu kenangan terbaik dalam kehidupan saya ini :)

Ulasan

Perjalanan hidup Encik Mohamed Salleh penuh dengan dukacita dan sikapnya dalam merintangi kehidupannya merupakan teladan yang baik. Sejak kecil lagi, beliau sudah menyedari akan kelebihannya dan menggunakan dengan berfaedah. Beliau tidak mensia-siakan bakat dan sikap keusahawanannya. Cara dia menangani masalah memberi ilham kepada saya. Saya boleh menggunakan pengalaman hidupnya sebagai panduan hidup dan sumber inspirasi. Dia langsung tidak berputus asa dan bertekad untuk mencapai kejayaan yang sudah lama diidamkan. Saya harus mencontohi sikap-sikap ini supaya boleh berjaya dalam masa saya di Maktab Rendah Victoria di samping menikmati masa di situ. Beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perniagaannya, dan keputusannya juga dibantah oleh ibunya. Namun demikian, beliau tidak berputus asa dan bersungguh-sungguh untuk menakluki cabaran-cabaran tersebut. Beliau bijak memikirkan tentang jalan keluar dan tidak membenarkan cabaran-cabaran tersebut menghalangnya daripada mengejar kejayaan. Seperi dikatakan dalam artikel tersebut, "Daripada merungut dengan nasib yang menimpanya, Encik Mohamed Salleh sebaliknya melihat peluang yang terbuka". Ini menunjukkan kecekalannya dalam menghadapi kesusahan. Selain itu, beliau mempunyai ciri-ciri baik yang lain. Walaupun beliau amat berjaya dan bertaraf tinggi, beliau bukanlah seorang yang berhidung tinggi. Beliau sangat murah hati dan suka membuat amal. Beliau ingin bersumbang kepada masyarakat dan membantu orang lain yang kurang bernasib baik. Ujarnya, 'Saya gembira dapat membantu golongan yang memerlukan kerana saya dulu pun pernah hidup susah'. Beliau berpegang teguh pada prinsip kesederhanaan dan tidak menunjuk-nunjukkan kekayaannya. Beliau juga mendidik anak-anaknya dengan betul supaya mereka akan membesar untuk menjadi individu yang mengikuti jejak langkahnya. Saya patut berbaik hati juga dan membantu rakan-rakan saya yang memerlukan pertolongan, sama ada dalam pelajaran atau perkara-perkara yang lain. Artikel ini juga memberi peringatan kepada saya supaya tidak menjadi angkuh, mengikut peribahasa "seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin meninggi". Jika saya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolah, saya tidak patut bermegah dan memandang serong kepada orang lain yang gagal. Sebaliknya, saya boleh menghulurkan bantuan dan mengajar mereka. Apabila berjaya dalam hidup kelak, saya harus menjadi rendah diri dan membakti kepada masyarakat, dengan menjadi seorang warga yang bertanggungjawab dan penyayang.


Saya amat tersentuh dengan Encik Mohamed Salleh kerana sikapnya yang begitu mulia. Beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya, suami yang bertanggungjawab, ayah yang penyayang dan warga masyarakat yang berguna. Beliau mendorong saya untuk mencontohinya dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip hidup yang penting. Beliau telah mengajar saya bahawa kunci kejayaan ialah dengan mempunyai azam yang kuat, minda yang positif dan hati yang terbuka. Di samping itu, jangan berputus asa dalam kegagalan dan kuatkan semangat untuk mengatasi kegagalan tersebut.


:)
14 Jul 2011

SINGAPURA

ANUGERAH JAUHARI
Peluang kedua tidak disesia berkat tidak kenal erti putus asa

Oleh
Nazri Hadi Saparin
DI dinding pejabatnya, tergantung peribahasa 'sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain' yang terukir dalam sebuah bingkai.

Ia mengingatkan beliau kepada perjalanan hidupnya, membina syarikat dari sebuah kedai kecil hinggalah ia mencapai keuntungan bersih $16 juta tahun lalu.

Kisah kejayaannya bermula pada 1974, langkah pertamanya menceburi dunia niaga. Namun, percubaan itu menemui kegagalan.

Hanya selepas empat bulan beroperasi, beliau terpaksa gulung tikar. Kedainya di Peninsula Plaza terpaksa dijual kepada seorang kenalan.

Walau kecewa, beliau enggan menyerah kalah, malah lebih bertekad mahu berjaya.

Perkataan 'berputus asa' jelas tidak wujud dalam kamus kehidupan Encik Mohamed Salleh Marican.

Kurang enam bulan selepas itu, beliau bangkit semula, mengorak langkah baru dalam dunia perniagaan.

'Saya beli semula kedai itu. Kedai sama, perniagaan sama, malah bahan-bahan pun sama.

'Namun, perbezaannya ialah kali itu saya bukanlah Salleh Marican yang sama,' katanya, matanya bersinar menampakkan keazaman yang jelas masih membara dalam jiwanya.

Kisah jaya Encik Mohamed Salleh, 61 tahun, sudah diketahui ramai.

Beliau menamakan syarikatnya Second Chance, mencerminkan peluang keduanya dalam perniagaan walau hakikatnya Encik Mohamed Salleh menemui kegagalan lebih daripada sekali.

Kini, Second Chance Properties adalah satu-satunya syarikat Melayu/Islam yang tersenarai dalam papan utama bursa Singapura - status yang dicapainya pada 2004.

Syarikat itu mengendalikan perniagaan pakaian wanita First Lady di Singapura dan Malaysia, dan barang kemas Golden Chance selain mempunyai portfolio 75 buah hartanah bernilai lebih $180 juta.

DI MANA SEGALANYA BERMULA

Encik Mohamed Salleh dibesarkan di sebuah rumah kedai di Joo Chiat Road dan sejak kecil sifat keusahawanan beliau sudah menyerlah.

Semasa di sekolah rendah, beliau mendapat ilham berniaga setelah melihat teman-temannya membeli gula-gula hampir tiap hari.

'Jadi saya beli gula-gula secara borong, harganya lebih murah dan kemudian jual kepada kawan-kawan,' katanya bangga.

Kecenderungan itu mungkin dipengaruhi oleh bapanya, Allahyarham Marican Kadir, yang mengendalikan sebuah kedai di Chulia Street.

Bapa beliau, yang meninggal dunia ketika Encik Mohamed Salleh berusia 15 tahun, berasal dari Neravy di Karaikal, India, sementara ibunya, Cik Salmah Mar'ie, merupakan orang Melayu Singapura.

Namun, Encik Mohamed Salleh sendiri menyifatkan naluri tersebut sebagai kurniaan Tuhan, bakat semula jadi yang tidak ingin beliau sesiakan.

'Dari sudut itu, saya anggap diri saya beruntung,' ujarnya, berterus terang.

TOLAK TAWARAN KERJAYA STABIL

Di akhir Perkhidmatan Negara (NS), Encik Mohamed Salleh, yang berpangkat Leftenan, ditawarkan menyambung khidmatnya sepenuh masa.

Namun, beliau menolak tawaran itu kerana impiannya ialah menjadi menjadi seorang usahawan, bukan jeneral, katanya.

Keputusan itu kurang disenangi ibunya.

'Saya masih ingat kata-kata arwah emak: 'Kau ingat senang nak meniaga. Bapak kau 50 tahun meniaga, naik turun, naik turun, bila tidak ada meniaga, sakit perut. Apa yang dia tinggalkan, rumah ini saja'.

'Saya faham kenapa emak saya cakap begitu. Dia sudah lihat bapa saya bergelut dengan pasang surut perniagaan.

'Tapi saya tidak gentar dengan kesusahan. Saya sanggup mengharunginya,' ujar beliau.

Ternyata, Encik Mohamed Salleh bukan sahaja berjaya menempuhi masa-masa sukar, malah menjadikannya dorongan untuk berjaya.

Berbekalkan pengalaman kegagalan pertamanya, percubaan kedua beliau dalam perniagaan lebih berhasil.

Dalam masa dua tahun, pada 1976, Second Chance mempunyai tiga cawangan di Singapura.

Pada 1978, beliau menceburi bidang pakaian siap.

Ia menerima sambutan baik dan pada 1983, Encik Mohamed Salleh mula memfrancaiskan jenamanya, menjadikan Second Chance antara syarikat setempat pertama yang difrancais.

Dalam masa hanya lima tahun, Second Chance mempunyai 25 cawangan - 18 di Singapura dan tujuh di Malaysia.

SECOND CHANCE 'BERGOYANG'

Namun, setelah menerima anugerah usahawan Melayu terbaik pada 1988, sekali lagi Encik Mohamed Salleh berdepan dengan masalah.

Tiba-tiba perniagaannya merosot dengan mendadak, dan para pemilik francais mula runsing.

Encik Mohamed Salleh menerangkan Second Chance begitu popular sebelum itu kerana imej 'Baratnya' - hasil penggunaan iklan yang bijak.

Beliau berbelanja besar dengan menggunakan model 'orang putih' untuk memasarkan jenamanya. Bahkan, penggambaran bagi iklannya dihasilkan di Australia.

'Tapi selepas anugerah itu dan publisiti meluas yang saya terima, pengguna mula sedar Second Chance ini jenama setempat.

'Bukan itu saja, mereka melihatnya sebagai jenama fesyen untuk orang Melayu. Dari situ timbul masalah,' ujar beliau.

AMBIL LANGKAH PAHIT

Sejajar dengan fitrah Encik Mohamed Salleh yang realistik dan tidak gentar mengambil langkah sukar, beliau mula menutup cawangan-cawangan Second Chance demi mengelak kerugian yang lebih besar.

Menjelang 1992, kesemua cawangan Second Chance ditutup, kecuali empat di Singapura.

Daripada merungut dengan nasib yang menimpanya, Encik Mohamed Salleh sebaliknya melihat peluang yang terbuka.

Mencungkil kekuatan 'imej tidak sengaja' Second Chance sebagai fesyen Melayu, beliau mengambil keputuan menumpukan perhatian pada pasaran Melayu.

Pada November 1992, First Lady, butik pakaian wanita Melayu, dilancarkan.

Pada Disember 1993 pula, beliau membuka Golden Chance, kedai barang perhiasan emas.

Kini, First Lady mempunyai 41 cawangan di Singapura dan Malaysia, sementara Golden Chance terus mendahului saingan dalam pasaran barang perhiasan emas untuk pengguna Melayu.

HIDUP SEDERHANA

Apabila perniagaannya menghadapi masalah dahulu, ramai yang tampil membantu.

Beliau mendapat pinjaman wang daripada keluarga, termasuk isteri dan ibu mentuanya. Malah, ada juga jiran-jiran yang membantu.

'Saya terharu. Orang-orang ini sanggup berpisah dengan barang kemas dan wang ribuan dolar untuk membantu saya,' kata beliau, nadanya yang sentiasa lantang kini dipenuhi emosi.

Lantaran itulah, beliau gigih membantu usaha-usaha amal.

Sejak pembentukan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) pada 1992, Second Chance telah menjadi penderma tetap dana itu dengan sumbangan $22,222 hampir setiap tahun - mencerminkan nilai peluang kedua yang dekat dengan hati Encik Salleh.

Beliau juga kerap mendermakan produk-produk Second Chance selain duduk dalam lembaga pengarah Temasek Cares - sebuah badan amal syarikat pelaburan pemerintah Temasek Holdings.

Menurut Encik Mohamed Salleh, sumbangannya kepada amal tidak seberapa. Malah, beliau rasakan ia tidak mencukupi.

Justeru, beliau telah mewasiatkan sepertiga hartanya kepada amal.

'Sesiapa sahaja yang telah mencapai kejayaan mahu menyumbang kepada masyarakat; saya tidak terkecuali.

'Saya gembira dapat membantu golongan yang memerlukan kerana saya dulu pun pernah hidup susah,' ujarnya.

Sejarah hidupnya yang penuh dengan onak dan duri itu membentuk pandangan beliau kepada kehidupan.

Beliau berpegang teguh pada prinsip kesederhanaan. Beliau tidak memiliki telefon bimbit dan tidak suka memakai jam tangan.

Malah, anak bongsunya, Encik Mohamed Amal, 24 tahun, yang kini mengurus First Lady di Malaysia, mendedahkan beliau dan tiga kakaknya tidak pernah dimanjakan dengan kesenangan.

Namun, anak sulung Encik Mohamed Salleh, Cik Nadia, 35 tahun, berkata bapanya tidak lokek kasih sayang.

'Sejak kami kecil, bapa mesti pulang untuk makan tengah hari dan makan malam bersama. Apabila dia ke luar negara untuk bisnes, dia akan bawa anak-anak.

'Jadi walaupun dia sibuk, kami tahu dia sentiasa tidak jauh daripada kami,' ujarnya.

Encik Mohamed Salleh akur keluarga adalah segala-galanya kerana tanpa mereka, kejayaan beliau 'tidak bermakna'.

'Saya bekerja keras selama ini pun untuk keluarga,' katanya.

Setelah hampir empat dekad bekerja keras, isterinya, Cik Maria, yang setia menyokong suaminya dalam masa-masa sukar dan senang, mengharapkan suaminya itu akhirnya berehat.

'Tapi saya tak rasa ini akan berlaku,' katanya, tersenyum lebar.

Jelas, Cik Maria sudah masak dengan sikap suaminya.

Kini, Encik Mohamed Salleh sibuk mengorak langkah membangunkan Second Chance menjadi sebuah syarikat bilion dolar dalam pemodalan pasaran menjelang 2022.

Namun, wang bukan lagi menjadi motivasinya, kata Encik Mohamed Salleh.

'Apa yang saya miliki lebih dari cukup. Saya tidak mahu lagi mengejar kekayaan.

'Susah untuk saya terangkan. Mungkin seperti pendaki gunung. Selepas menawan Everest, mereka mahu menawan gunung itu melalui laluan lain, yang lebih mencabar.

'Mungkin kerana setelah sekian lama, saya ketagih kepada cabaran bisnes ini. Atau mungkin saya mahu jadi yang terbaik, meninggalkan sebuah legasi,' ujarnya.

Sumber: http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,192679,00.html

Sunday, February 13, 2011

Azamku

Apakah perkara yang paling menggembirakan kamu yang berlaku pada tahun lalu? Ceritakan.

Kesempatan untuk memasuki Sekolah Menengah Perempuan Tanjong Katong. Saya amat bersyukur kerana memperolehi peluang istimewa untuk berpindah dari sekolah lama (SM Springfield) ke sekolah yang terkenal tersebut. Di situ, saya berpeluang untuk meningkatkan diri dalam pelbagai aspek seperti bidang akademik dan kemahiran2 yang lain. Saya telah memperluas bakat saya dan berjaya mencabar diri. Saya juga telah berpeluang menjalin persahabatan dengan sekumpulan kawan yang amat peramah dan baik hati. Mereka telah banyak membantu saya dalam proses menyesuaikan diri di alam yang baru dan melengkapkan tahun lalu dengan pelbagai kenangan yang manis. Mereka mengingatkan saya tentang keselesaan hidup di Malaysia.

Apakah perkara yang mengecewakan kamu pada tahun lalu? Apakah pengajaran yang kamu raih daripada pengalaman itu?

Saya kecewa akan komitmen saya terhadap aktiviti ko-kurikulum saya iaitu bola keranjang. Walaupan saya sering menghadiri setiap latihan, saya sebenarnya tidak menyenangi latihan2 tersebut. Saya sentiasa berasa terpaksa untuk menyertai setiap latihan. Mungkinlah kerana saya tidak begitu rapat dengan pasukan saya atau pun pengalaman saya yang sedikit menyebabkan saya berasa tercabar. Pengajaran yang telah saya raih daripada pengalaman itu ialah saya haruslah menggemari akitiviti2 yang dilakukan dan mempunyai minat yang mendalam untuk cemerlang dalam kegiatan tersebut. Fikirian positif juga penting untuk membina keyakinan diri. Saya juga sedar bahawa saya patut berusaha seratus peratus sekiranya ingin berjaya dalam sesuatu bidang.

Apakah sikap buruk atau perkara-perkara negatif yang ingin kamu kikis atau ubah? Bagaimana caranya?

Saya ingin berubah menjadi lebih berdisiplin dan mengikis kemalasan saya. Saya ingin membuang rasa lemah dan meningkatkan keyakinan diri supaya saya mampu berasa puas hati dengan usaha saya. Saya harus mempercayai kebolehan diri dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri. Selain itu, saya berharap untuk mengikiskan fikiran2 pesimistik dan mula berfikiran positif dalam setiap perkara. Saya juga ingin menghapuskan tabiat buruk suka menunda-nunda kerja-kerja saya dan belajar membahagi masa dengan lebih baik supaya saya boleh menjadi seorang yang lebih terancang serta rapi.

Senaraikan 10 azam yang ingin awak capai pada tahun ini?

1. mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun
2. bekerja dengan baik bersama ahli-ahli kumpulan dalam projek yang berlainan
3. bergiat lebih aktif dalam pelbagai bidang di sekolah
4. memberi komitmen kepada 1 cca dengan sepenuh hati
5. mengenali sekurang-kurangnya seorang pelajar dengan mendalam seperti kawan baik
6. memberi 100% kepada kelas 11V15 dan membanggakan kelas
7. membaca lebih banyak buku (termasuk B.Melayu) dan menggemarinya
8. melangsingkan badan
9. berdisiplin untuk bersenam
10. tidak menyesal satu pun detik dalam tahun 2011

Pilih 3 dan terangkan dengan terperinci mengapa ia penting bagi diri kamu dan langkah yang akan kamu ambil untuk mencapainya.

1. Keputusan cemerlang penting kepada saya kerana saya seorang yang suka bertanding dengan diri saya dan memaksa diri untuk sentiasa berusaha lagi, melepasi batasan. Saya juga ingin mencapainya kerana saya sedar akan kepentingannya dalam menjamin masa depan yang cerah. Saya juga tidak ingin mengecewakan ibu bapa saya kerana sebab utama mereka menghantar saya ke Singapura adalah unuk memastikan saya mendapat pembelajaraan yang terbaik di sampint mengembangkan potensi saya. Saya percaya bahawa dengan usaha dan kerja keras, saya akan mencapai azam ini.

3. Saya ingin bergiat lebih aktif dalam pelbagai bidang di sekolah kerana saya rasa bahawa 4 tahun saya di Maktab Rendah Victoria akan berlalu dengan cepat sekali. Oleh demikian saya haruslah mengguna setiap peluang untuk belajar perkara-perkara yang baru dan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan untuk memastikan 4 tahun ini digunakan dengan berfaedah. Saya juga rasa bahawa setiap remaja haruslah meluangkan masa dengan melakukan pelbagai aktiviti untuk menjamin keseronokan hidup. Selain itu, saya tahu tentang kepentingannya mempelajari perkara2 yang baru untuk mempertingkatkan bakat diri, yang mungkin tidak pernah kami sedari.

10. Saya tidak ingin menyesal satu pun detik dalam tahun 2011 kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Saya mesti memastikan bahawa setiap hari harus dilalui dengan kepuasan. Saya tidak mahu melihat kembali dan menyesal pada masa hadapan kerana gagal melakukan sesetengah perkara yang sebenarnya mampu terjadi pada masa itu.Oleh demikian, saya akan memaksimumkan dan menghargai setiap detik untuk menjalani kehidupan yang bahagia.

:) :) :)

Kenali Saya.. :)

Nama: Jasmine Apryl Tan

Tarikh lahir: 15/04/1995

Keluarga: 5 orang termasuk saya. Anak pertengahan dan mempunyai satu abang dan satu adik lelaki.

Buku/muzik/filem/bidang/negara dsb: Karya Nicholas Sparks, muzik yang sedap didengar (bukan seperti 'heavy metal' dll), lagu kontempari Kristian, filem yang bertemakan romantis komedi atau 'chic flicks', filem seram, negara Malaysia kerana saya membesar di situ.

Idola: Oprah Winfrey kerana beliau berupaya untuk mengubah kehidupan ramai orang yang kurang beruntung dan beliau menjadi inspirasi kepada ramai orang di dunia ini. Beliau juga baik hati dan murah hati kerana beliau suka berbuat amal.

5 perkara yang saya suka: sukan, melancong, membeli-belah, kumpulan rakan yang baik, fotografi

5 perkara yang tidak disukai: janji yang tidak ditunaikan, tekanan besar, beban yang terlalu berat, kepaksaan, kawan-kawan yang tidak boleh dipercayai

Kekuatan: berdikari, peramah, tidak senang berputus-asa, ptagmatik, sensitif

Kelemahan: terlalu sensitif pada sesetengah masa, mementingkan diri, membuat keputusan mengikut perasaan apabila situasa melibatkan orang-orang yang penting kepada saya, degil

Prinsip hidup:
i) menggunakan setiap peluang untuk melakukan sesuatu yang boleh menjadikan diri seorang insan yang lebih baik dan berguna
ii) perlu adanya kepercayaan kepada Tuhan supaya kehidupan menjadi lebih bermakna

Cita-cita: tidak tentu lagi..... tetapi saya ingin berjaya dalam hidup dan mampu berbakti kepada keluarga dan masyarakat

Pada tahun ini saya berazam untuk...
i) berjaya dalan IP1 dari segi akademik dan lain-lain
ii) menguasai sesuatu kemahiran yang baru
iii) melakukan sesuatu aktiviti yang tidak pernah saya lakukan

Wednesday, February 9, 2011

#1

Kelas Bahasa Melayu Lanjutan sedang diadakan sekarang di makmal komputer V28. Eri, Yuri, Anisah dan saya baru mencipta blog-blog kami. Harap-harap kami akan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan blog kami ini :D